Friday, 27 January 2012

NOSTALGIA BERSAMA USTAZ AZIZI HJ ABDULAH

SAYA mula menulis pada bulan   tahun 1986, selepas saya belajar secara formal dengan mendiang  Dr. Darwis Harahap seorang tutor bahasa di USM, Pulau Pinang.  Sedang masih belajar menulis cerpen, cerpen pertama saya sudah  tersiar dalam akhbar tabliot Mingguan Pos Kota bertajuk “MENCARI CINTA”. Mendiang Drs. Darwis Harahap sering mengatakan yang hasil karya saya cukup baik, sedangkan saya masih merasa ada banyak kekurangan tapi saya tidak tahu di mana dan apa dia.

Dalam waktu yang sama saya tahu Allahyarham Ustaz Azizi Hj. Abdullah tinggal di Taman Bersatu, Kulim. Taman Bersatu, Kulim dengan Kampung saya Machang Bubok, Bukit Mertajam memang tak jauh sangat dalam 4 atau 5 kilometer. Lalu saya mula menjejaki siapa yang kenal baik dengan Allahyarhan Ustaz Azizi Hj. Abdullah.  Saya bernasib  baik ada orang kampung  yang memang kenal  baik dengan dia. Seorang Tengku Kamarulzaman seorang guru yang sama2 mengajar di Sekolah Rendah Tunku Abdul Malik, Kulim dan seorang lagi namanya Osman orang kampung Allahyarham Ustaz Azizi Hj. Abdullah tapi kini telah menetap di kampung saya.

Saya memilih orang kampung  Allahyarham Ustaz Azizi Hj. Abdullah dan saya bercakap kepada dia minta dia bawa dan perkenalkan kepada Allahyarham Ustaz Azizi Hj. Abdullah. Dia bersetuju,  lalu saya buat  cerpen bertajuk NENEK UTIH  untuk saya berikan kepada Allahyarham Ustaz Azizi Hj. Abdullah supaya dinilai, disamping itu saya juga  membawa cerpen saya yang pertama kalinya tersiar.
Suatu hari saya dengan Osman sampai di depan rumah Allahyarham Ustaz Azizi Hj. Abdullah dan saya lihat terpampang di rumahnya tertulis  rumah Tukya. Tukya adalah nama tokoh utama dalam Novel Seorang Tua Di Kaki Gunung. Lalu saya   saya ambil keputusan untuk memanggil  Allahyarham Ustaz Azizi Hj. Abdullah “Tukya”. Allahyarham Ustaz Azizi Hj. Abdullah amat suka dengan cadangan saya itu  dan sejak itu saya sering memanggil Allahyarham  Ustaz Azizi Hj. Abdullah dengan panggilan Tukya.

Dalam pertemuan itu saya memberitahu hasrat hati saya nak berguru dengan dia. Saya memang berhasrat untuk menjadi penulis suatu hari nanti dan memberikan dia kedua-dua buah cerpen untuk dinilai dan dikomen. Allahyarham meminta masa selama 10 hari untuk tujuan itu, dan selepas 10 hari saya pergi kembali ke rumahnya dan saya lihat cerpen saya habis di conteng dengan pen merah hampir keseluruhannya.

Allahyarham Ustaz Azizi Hj. Abdullah telah memberi komen… menasihati saya dan mengembalikan naskah yang telah diconteng itu. Apabila saya balik dan melihatnya saya dapat pelbagai ilmu daripada apa yang diconteng itu. Malah kekurangan yang saya cari daripada cerpen pertama juga sudah terjawab. Lalu saya berjumpa dan tunjukan kepada mendiang  Drs. Darwis Harahap dan bertanya mengapa beliau mengatakan saya dah cukup bagus.
Lalu mendiang Drs. Darwis Harahap memberitahu saya sebagai penulis baru apa yang saya buat adalah cukup baik. Maka barulah saya faham maksud mendiang Drs. Darwis Harahap. Namun yang peliknya sampai hari ini saya gagal mengarap semula cerpen Nenek Utih walaupun banyak ilmu yang dapat saya timba daripadanya.

Sejak hari itu dari masa ke semasa saya bertemu dengan Allahyarhan Ustaz Azizi Hj. Abdullah untuk mengali ilmu penulisan kreatif daripada beliau. Dari masa ke semasa beliau telah memberikan tunjuk ajar sehinggalah cerpen saya tersiar dalam pelbagai akhbar dan majalah. Cerpen2 saya pernah tersiar di Mingguan Malaysia URTV, Bacaria, Media Hiburan, Majalah Famili dan banyak lagi akhbar dan majalah tempatan. Malah saya pernah memenangi Hadiah Saguhati Sayembara Penulisan Cerpen anjuran Majlis Kebudayaan Negeri Pulau Pinang dan Variapop Group , Kuala Lumpur yang menganjurkan pertandingan menulis cerpen.

Selepas itu saya telah diterima oleh Bacaria untuk menjadi Wakil Bacaria di Pulau Pinang dan ketika itu Pengarangnya Mazlan Mir atau nama sebenarnya Mazlan Manan. Mazlan Manan sekarang terkenal sebagai penulis skrip yang prolific di Negara ini. Kemudian saya menyertai Utusan Malaysia cawangan Pulau Pinang di mana ketika itu Ketua Biro Utaranya,  Rozaid Abdul Rahman yang kini menjadi Pengarang Bersekutu Mstar. Setelah itu saya menyertai Harian Watan  yang berpejabat di Buterworth,  tapi malangnya nyawa akhbar itu tidak lama.
Selepas itu saya mula menulis rencana politik untuk pelbagai akhbar politik seperti Era Baru, Eksklusif, Majalah Editor Suria Janib, Fajar Islam, Buletin Utama, Buletin Demokrasi , Siasah  dan banyak lagi. Malah saya pernah menjadi Pengurus Penerbitan/Editor Buletin UMNO Negeri Pulau Pinang yang dikenali sebagai Suara Mutiara. Ketika itu UMNO Pulau Pinang diketuai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr.Ibrahim Saad menjadi Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang.

Saya juga dilantik menjadi Pengurus Penerbitan/Editor Buletin Pemuda UMNO Pulau Pinang yang dikenali sebagai Minda Pemuda . Ketika itu Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang disandang oleh Nordin Md.Noor. Dan saya juga pernah dilantik menjadi Pengurus Penerbitan/Editor Buletin UMNO Bukit Mertajam ketika Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad mengetuai UMNO Bahagian Bukit Mertajam yang dikenali sebagai Buletin Bukit.

Walaupun saya benar-benar  berjaya  menempatkan diri sebagai seorang penulis khususnya politik, saya tak pernah lupakan Ustaz Azizi Hj. Abdullah, dari masa ke semasa saya tetap menemuinya. Beliau terus memberi peransang, galakan yang boleh mencabar kebolehan saya. Dan sautu hari tanpa saya sedari beliau mencabar saya lagi.

 “MAN AKU BERBANGGA DENGAN HANG… HANG TELAH BERJAYA  DIBIDANG PENULISAN TERUTAMA KREATIF DN POLITIK TAPI MALANGNYA SUDAH SEKIAN LAMA HANG MENULIS TIDAK ADA SATU PUN BUKU ATAU PUN NOVEL YANG HANG HASILKAN.” Kata  Allahyarham Ustaz Azizi Hj. Abdullah.


Lalu aku berjanji kepada beliau yang saya  akan menghasilkan novel . Alhamdulillah saya  telah berjaya menulis sebuah novel tapi malangnya setelah siap 90% manuskrip novel itu diserang virus sehingga kini saya  gagal membuka folder itu. Nasib saya baik kerana manuskrip itu telah saya ‘print’  masalahnya saya malas untuk menaip semula
.
Namun dengan pemergiannya saya  harus menyiapkan novel pertama ini dengan secepat mungkin jika tidak motivasi saya juga akan turut terkubur. Insya Allah kalau tidak ada apa-apa aral yang melintang novel pertama saya akan di cetak pada bulan Mac atau April ini. Insya Allah sekiranya usaha ini dapat direalisasikan saya tetap akan menghadiahkan senaskah novel ini  kepada isteri Ustaz Azizi sebagai tanda mata dan terima kasih saya kepada beliau.

Disamping memberikan tunjuk ajar dan motivasi beliau juga telah memberikan saya petua dan rahsia beliau berjaya menjadi penulis yang berjaya. Namun sehingga kini petua yang amat berharga itu tidak pernah saya amalkan dan dengan pemergiannya insya Allah saya akan mula mengamalkannya. Saya tahu dan yakin rahsia inilah yang membawa belaiu berjaya menjadi penulis yang amat dikenali di negara ini dan pernah  menerima Anugerah SEA .

Saya amat terasa satu kehilangan  yang cukup besar dengan pemergian beliau buat selama-lamanya ini. Jasa baktinya kepada saya untuk menjadi seorang penulis amat besar. Walaupun kini saya banyak menumpukan perhatian dalam penulisan skrip tetapi harus diingat bahawa Allahyarhan Ustaz Azizi Hj. Abdullah juga banyak menghasilkan  Skrip Drama Radio malah beberapa buah drama TV. JASA BAKTINYA KEPADA SAYA TIDAK AKAN SAYA LUPAKAN HINGGA KE AKHIR HAYAT SAYA.



Sedikit Biodata Allahyarham

AZIZI HJ. ABDULLAH (Hj. Azizi bin Hj. Abdullah) dilahirkan di Kampung Bukit Meryam, Kota Kuala Muda Kedah, pada 4 April 1942. Mula mendapat pendidikan di Sekolah Melayu Bukit Meryam dan Sekolah Melayu Kota Kuala Muda, Kedah sehingga darjah enam.

Kemudian belajar di Sekolah Agama Dairatul Maarif Al-Wataniah, Kepala Batas Seberang Perai (Sekolah yang diasaskan oleh Tuan Guru Hj. Ahmad Badawi, ayahanda kepada Datuk Abdullah Ahmad Badawi, bekas Perdana Menteri ke 5) hingga tahun 1965.

Azizi mula menulis ketika di sekolah agama, kira-kira dalam tahun 60-an apabila artikel pertamanya tersiar dalam Warta Negara, Pulau Pinang berkenaan buruk baik wanita bermain bola sepak dan kemudian diikuti cerpen ‘Sisa’. Manakala cerpen ‘Hj. Salikun Cuba Berkhalwat’ telah menjadi kontroversi sehingga Azizi hendak didakwa di mahkamah.

Azizi mula bertugas sebagai guru agama di Sekolah Kebangsaan Sungai Taka, Serdang, Kedah dalam tahun 1965 dan bermulalah kesuburan bakat beliau melalui penulisan cerpen di akhbar-akhbar, terutama akhbar terbitan Utusan Melayu.

Azizi telah bersara daripada guru agama pada tahun 1997 dan kini menjadi Ketua Editor akhbar Utusan Pengguna (CAP) Pulau Pinang dan penulis kolum majalah.

Dengan terhasilnya novel KAWIN-KAWIN, bererti sudah 25 novel yang ditulis oleh Azizi sejak tahun 60an lagi di samping hampir 200 cerpen.

Nota: Mari kita sama-sama sedekah al-fatihah moga-moga Allah merahmati rohnya dan diletak bersama-sama para solehin.

Sunday, 16 October 2011

FIKRAH MUSLIM 1

Bagaimana Aku Menemui Kebahagiaan
Aminah Amatullah, Wanita Jerman  Dapat Hidayah Melalui Internet

Aku dilahirkan pada tahun 1968 di Hannover sebuah bandar besar  di Jerman. Dilahirkan dalam sebuah keluarga Kristian, dan aku juga menganut  kristian protestant. Aku percaya akan konsep ketuhanan tetapi aku hairan aku tidak pernah mempratikkan agama yang aku anuti.

Kalau aku sembahyang aku menyembah  Tuhan bukannya Jesus seperti  penganut kristian yang lain. Aku tidak pernah pergi sembahyang di gereja merasakan tidak perlu kerana kita boleh buat benda yang sama di rumah.

Apabila umurku meningkat ke- 22 tahun, aku berkahwin dengan seorang penganut kristian khatolik dan telah dikurniakan tiga orang anak yang comel. Aku sering  memberitahu anak-anakku yang Tuhan sentiasa dekat dengan mereka dan  akan dilindungi oleh malaikat.

Aku langsung tidak bahagia dalam perkahwinan itu. Suamiku juga mula berubah dan sudah tidak mahu bercakap masalah dirinya dengan aku. Lama kelamaan perkahwinan kami retak.  Pada masa itu aku merasakan satu kehilangan yang cukup besar dalam sejarah hidupku.

Pada tahun 1998, aku berpindah ke Wernigond sebuah bandar kecil di timur Jerman untuk tujuan perniagaan dan aku amat berharap perpindahan ini akan dapat menyelamatkan perkahwinan kami.

Apabila anak kecilku mula memasuki tadika aku kembali bekerja. Salah seorang teman sekerjaku adalah seorang muslim. Tanpa aku sedari kawanku itu telah mengajar beberapa perkara mengenai  Islam.
Setahun kemudian  aku merasakan terdapat perubahan besar dalam diriku. Aku sudah boleh menerima kenyataan hidup samada baik atau buruk. Aku yakin semua itu adalah ketentuan Tuhan dan aku mula menjadi kuat.

Selepas 10 tahun berumahtangga akhirnya musnah jua walaupun aku amat takut ditinggalkan suami. Aku memikirkan bagaimana aku hendak hidup untuk membesarkan tiga orang anak. Jalan Tuhan kadang-kadang begitu misteri.

Beberapa bulan kemudian aku mendapat jawapan. Semua jawapan itu aku perolihi ketika pertama kali mengenal dunia internet. Aku mengenali seorang lelaki dan dia tak pernah memberitahuku yang dia seorang muslim.

Alhamdulillah, dia macam menjadi kurniaan baru dalam kehidupanku. Kami berkongsi gambar dilaman ‘homepage’nya. Link yang menarik terdapat dalam ‘homepage’nya 99  nama Allah yang tak pernah aku dengar selama ini dan  kitab suci Al-Quran.

Aku membaca juz pertama, aku merasa begitu menarik dan aku terus ingin tahu seterusnya. Kemudian aku mencari terjemahan Al-Quran dalam bahasa Jerman. Kenalanku itu seorang muslim bernama Abdul Rahman tidak tahu mengenai perkara ini.

Setelah beberapa lama aku memberitahu  kenalaku, Abdul Rahman yang aku  sedang membaca Al-Quran. Abdul Rahman begitu gembira mendengarnya. Beberapa minggu kemudian Abdul Rahman telah berpindah daripada USA ke Macedonia dan dia berjanji akan terus berhubungan.

Alhamdulillah, Abdul Rahman menepati  janjinya dan aku merasa begitu gembira dapat terus berhubungan dengannya terutama di masa aku berada dalam keadaan yang kurang baik. Aku merasa takut dan sering berdoa. Aku beruseha untuk tingkatkan pengetahuan mengenai Islam. Walaupun kami terpisah jauh namun dia sering memberikan nasihat dan galakkan.

Kepercayaan dan keyakinan baru aku telah membuatkan aku banyak berubah.  Akhirnya aku mengambil keputusan untuk berpisah dengan suamiku. Aku berazam untuk membina hidup baru walaupun sakit tapi aku yakin Allah dekat dan akan membantuku.

Aku tidak akan lupa suatu hari dimana aku mendapat kekuatan untuk menganut agama Islam. Hari itu anakku berjumpa seekor kucing yang sakit dan kami cuba menyelamatkan kucing itu. Aku berdoakan kepada Allah agar Allah  memberikan kehidupan  kepada kucing itu.

Tuhan telah mengabulkan doaku dan kucing itu  hidup selama seminggu. Suatu malam aku terbangun dari tidur dan aku dapati kucing itu mati, badannya masih panas. Aku merasa teramat sedih dan bertanya Allah, kenapa jadi macam ni?

Malam itu aku tak dapat tidur, tapi keesokan harinya aku  menyedari itu semua kehendak Allah. Dia yang memberikan nyawa dan Dialah yang mengambilnya bila-bila masa yang Dia suka. Saat itulah aku mulai sedar bahawa  aku perlu menukar agama dengan segera. Tuhan telah memberikan aku tanda tapi malangnya di kawasan itu tidak ada orang Islam.

Untuk mengucap dua kalimah syahadat dan menganut agama Islam aku perlu pergi ke Braunschweig, sebuah bandar di barat Jerman.  Aku terpaksa menaiki keretapi,  di sana dan berjumpa dengan saudara muslim lelaki dan wanita dan Imam di stesyen keretapi. Ini kerena keretapi aku sampai lewat dan aku tak punya banyak masa untuk ke masjid kerana terpaksa kembali ke rumah.

Akhirnya aku mengucap dua kalimah syahadat di stesyen keretapi dan sebelum itu seorang saudara wanita memberitahuku yang aku akan merasa macam orang yang baru lahir setelah mengucap dua kalimah syahadat.

 Benar kata-kata saudara wanita muslim itu aku merasa satu kelainan yang tidak pernah aku rasa. Aku  merasakan bagaikan bayi yang baru lahir.



Cerita bagaimana Aminah Amatullah seorang wanita Jerman yang hidup dalam masyarakat bukan Islam akhirnya telah memeluk agama Islam. Beliau mengenali seorang teman sekerjanya dan teman internet yang merupakan  seorang muslim. Artikel ini di petik  dari SUARA MASJID  NEGARA, September 2009 dalam bahasa Inggeris dan saya cuba terjemahkan dalam Bahasa Malaysia. Suara Masjid Negara pula memetik artikel ini daripada islamonline.net.

Sunday, 2 October 2011

Blog MINDA NURZAMAN dilancar

Syukur Alhamdulillah setelah sekian lama minda saya bermain-main samada untuk terus   menulis blog atau tidak akhirnya saya mengambil keputusan untuk terus menulis. Sebelum ini saya gagal untuk 'update'  semua-blog-blog  yang telah lama saya bina. Rata-rata blog itu telah dilawati lebih 12,000 pelawat.

Oleh kerana terlalu banyak blog saya menulis dalam keadaan tergesa-gesa dan  ada banyak yang tak sempurna. Jesteru itu saya mengambil keputusan untuk membina satu blog baru yang akan merakam apa saja perkara  yang bermain-main di minda saya .


Blog baru ini saya namakan MINDA NURZAMAN. Minda menurut Kamus Dewan  mukasurat 828  membawa maksud akal fikiran, daya fikir ~ yang disuburkan dengan ilmu pengetahuan yang banyak akan menjadi alat yang tajam untuk mengatasi pelbagai masalah dang mengilhamkan pemikiran baru. Sementara NURZAMAN pula yang membawa maksud Sinar Zaman, dan Nurzaman juga singkatan nama isteri saya Nur dan singkatan nama saya Zaman.

NURZAMAN  juga  nama pena saya yang sering saya gunakan semasa diawal penglibatan  dalam dunia penulisan. Saya juga pernah menggunakan PENA WARISAN sebagai nama pena. Namun begitu akhir-akhir ini saya hanya menggunakan nama sebenar saya ARZAMAN SULAIMAN dalam setiap karya saya.

Walaupun saya sudah ada blog baru namun blog-blog lama akan saya biarkan terus dan apabila saya menulis untuk blog baru dan jika isu yang dibawa itu menepati mana-mana blog lama maka saya akan ‘copy dan paste’ di blog-blog lama. Ini bermaknanya blog-blog tersebut juga akan terus hidup.

Saya amat berharap agar  sentiasa dapat menulis dan ‘update’ blog ini selalu dan dapat berkongsi segala pengalaman yang pernah saya lalui, dapat berkongsi pendapat mengenai pandangan tentang isu-isu semasa . Saya  juga akan merakam segala kerja buat saya dibidang penulisan. Saya amat berharap penulisan saya dalam blog ini dapat memberikan manafaat kepada  kepada diri saya dan sesiapa saja yang membacanya.

Untuk pengetahuan para pembaca blog ini saya telah lama bergiat dalam dunia penulisan bermula pada tahun 1986. Saya bermula sebagai penulis cerpen setelah  mengikuti Kursus Penulisan Hujung Minggu anjuran Persatuan Penulis Negeri Pulau Pinang (2PNP) dengan kerjasama JabatanKebudayaan Belia dan Sukan Daerah Bukit Mertajam.

Kursus ini telah dikendalikan oleh Cikgu Ahmad Abdul Hamid (Allahyarham)  yang juga Ketua Satu 2PNP waktu itu dan Drs. Darwis Harahap (mendiang) seorang tutur bahasa di USM. Minggu pertama saya menghadiri kursus itu saya dapati saya mampu menulis lalu saya terus menulis dan menghantar ke penerbitan akhbar tabliot MINGGUAN POS KOTA. Cerpen pertama saya yang bertajuk MENCARI CINTA telah disiarkan dua minggu kemudiannya.

Komen pengelola ruangan sastera amat menakutkan saya. Menurut beliau,  saya mampu menulis dengan baik dan tajuknya juga menarik cuma segmen orang bercinta tak nampak seperti orang tidak bercinta. Saya mengakui kelemahan itu kerana saya tidak pernah bercinta waktu itu sampai hari ini. Akhirnya saya sudah tidak berani lagi menulis cerita-cerita yang berkiatan dengan cinta. Saya banyak menulis cerita-cerita yang berkiatan dengan perjuangan, kemanusian dan keagamaan.

Saya merasa begitu senang lalu menunjukkan keratan akhbar itu kepada Drs. Darwis Harahap, beliau begitu gembira dan mengatakan saya begitu baik. Namun saya dapati karya saya tidak begitu baik tetapi saya sendiri tidak tahu apa yang tidak baik, jadi saya tidak mampu mengajukan soalan kepada beliau. Akhirnya saya mengambil keputusan untuk menulis sebuah cerpen baru yang saya namakan “NENEK UTIH”  lalu saya pergi berjumpa dengan Ustaz Azizi Hj. Abdullah.


Ustaz Azizi yang saya panggil TUKYA telah mengkritik saya sehingga  gagal untuk menulis semula cerpen itu tetapi Alhamdulillah saya dapat banyak pengetahuan mengenai penulisan cerpen. Sejak itu saya terus menulis cerpen dan cerpen-cerpen saya telah tersiar dalam pelbagai akhbar dan majalah seperti Minnguan Malaysia, URTV, Bacaria, Media Hiburan, Mingguan Islam, Pentas Dunia, Majalah Famili, Mingguan Famili dan banyak lagi.

Saya pernah mendapat Hadiah Saguhati Sayembara menulis Cerpen  anjuran 2PNP dan Majlis Kebudayaan Negeri Pulau Pinang dengan cerpen berjudul “Broker”. Hadiah Saguhati Sayembara Menulis Cerpen anjuran Persatuan Penulis Negeri  Pulau Pinang. Juga Hadiah Saguhati Penulisan Cerpen anjuran Variapop Group. Saya juga pernah mendapat Hadiah Saguhati Sayembara Menulis Puisi anjuran 2PNP , YTL dan  Majlis Kebudayaan Negeri Pulau Pinang.

Setelah itu saya mula bergiat dalam penulis politik di akhbar Mingguan Kota. Isu pertama saya telah berpolimik dengan seorang sasterawan yang juga penulis politik iaitu Zakry Abadi (allahyarham). Sejak itu saya terus menulis politik di akhbar tersebut dan akhirnya saya berpolimik dengan penulis yang menyokong kuat Tunku Abdul Rahman (allahyarham),  ketika Tunku Abdul Rahman menyokong Semangat 46, pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah.

Polimik inilah yang membawa saya bertemu dengan Datuk Seri Dr. Ibhaim Saad yang ketika itu merupakan Exco Pertanian Negeri Pulau Pinang, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang yang juga Ketua UMNO Bukit Mertajam. Pertemuan dengan Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad ini telah diatur oleh Ketua Pemuda UMNO Bukit Mertajam waktu itu, Cikgu Ismail Sudin. Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad telah memberikan sokongan dan dokongan yang kuat dan berjanji akan berada dibelakang saya.

Setelah yakin dengan kebolehan saya beliau telah memberikan peluang kepada saya untuk membuat Risalah Pilihanraya UMNO Pulau Pinang, Buletin UMNO Negeri Pulau Pinang dan Buletin UMNO Bukit Mertajam. Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad bukan saya memberikan sokongan dan dorongan yang kuat malah membuka peluang penulisan malah mengeluarkan belanja pencetakan untuk projek yang pertama. Sejak itu hubungan saya dengan beliau begitu akrap.  Sejak beliau dilantik menjadi Duta Besar ke Filipina saya sudah tidak lagi menemui beliau.

Saya juga pernah menjadi Wakil Bacaria di Pulau Pinang, menjadi Pemberita Sambilan untuk akhbar Utusan Malaysia di Pulau Pinang sebelum melangkahkan kaki menyertai Harian Watan yang akhirnya ditutup. Saya juga pernah menjadi  Wartawan Sambilan dengan Akhbar Eksklusif. Saya juga pernah menjadi penyumbang untuk akhbar yang menyajikan berita dan rencana poitik seperti SIASAH, BULETIN DEMOKRASI, BULETIN UTAMA, ERA BARU, MINGGUAN FAJAR ISLAM  dan banyak lagi akhbar.


Berdasarkan hubungan baik dengan Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad dan pengalaman penulisan politik saya telah ditawarkan oleh Datuk Musa Hj. Sheikh Fadzir sebagai Pegawai Perhubungan Awam  di Aseania Development Sdn. Bhd., disamping melaksanakan tugas-tugas syarikat, saya juga membantu Datuk Musa dalam urusan politik. Saya meletak jawatan sebagai Pegawai Perhubungan Awam pada pertenggahan  tahun 1999 atas alasan peribadi namun begitu hubungan saya dengan Datuk Musa Hj. Sheikh Fadzir tetap dan terus mesra sampai hari ini.

Kini saya bertugas di syarikat Gudang Berlesen Awam dan Logistik di Lunas, Kulim Kedah disamping menumpukan perhatian dalam Penulisan Skrip Drama TV dan Dokumentari.

Saya yakin berdasarkan pengalaman yang luas dibidang penulisan dan politik blog ini dapat memberikan manafaat kepada  peminat blog, Insya Allah. Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih saya lancarkan blog  ini. SELAMAT MEMBACA dan  artikel lain akan menyusul dari masa ke semasa.