Friday, 27 January 2012

NOSTALGIA BERSAMA USTAZ AZIZI HJ ABDULAH

SAYA mula menulis pada bulan   tahun 1986, selepas saya belajar secara formal dengan mendiang  Dr. Darwis Harahap seorang tutor bahasa di USM, Pulau Pinang.  Sedang masih belajar menulis cerpen, cerpen pertama saya sudah  tersiar dalam akhbar tabliot Mingguan Pos Kota bertajuk “MENCARI CINTA”. Mendiang Drs. Darwis Harahap sering mengatakan yang hasil karya saya cukup baik, sedangkan saya masih merasa ada banyak kekurangan tapi saya tidak tahu di mana dan apa dia.

Dalam waktu yang sama saya tahu Allahyarham Ustaz Azizi Hj. Abdullah tinggal di Taman Bersatu, Kulim. Taman Bersatu, Kulim dengan Kampung saya Machang Bubok, Bukit Mertajam memang tak jauh sangat dalam 4 atau 5 kilometer. Lalu saya mula menjejaki siapa yang kenal baik dengan Allahyarhan Ustaz Azizi Hj. Abdullah.  Saya bernasib  baik ada orang kampung  yang memang kenal  baik dengan dia. Seorang Tengku Kamarulzaman seorang guru yang sama2 mengajar di Sekolah Rendah Tunku Abdul Malik, Kulim dan seorang lagi namanya Osman orang kampung Allahyarham Ustaz Azizi Hj. Abdullah tapi kini telah menetap di kampung saya.

Saya memilih orang kampung  Allahyarham Ustaz Azizi Hj. Abdullah dan saya bercakap kepada dia minta dia bawa dan perkenalkan kepada Allahyarham Ustaz Azizi Hj. Abdullah. Dia bersetuju,  lalu saya buat  cerpen bertajuk NENEK UTIH  untuk saya berikan kepada Allahyarham Ustaz Azizi Hj. Abdullah supaya dinilai, disamping itu saya juga  membawa cerpen saya yang pertama kalinya tersiar.
Suatu hari saya dengan Osman sampai di depan rumah Allahyarham Ustaz Azizi Hj. Abdullah dan saya lihat terpampang di rumahnya tertulis  rumah Tukya. Tukya adalah nama tokoh utama dalam Novel Seorang Tua Di Kaki Gunung. Lalu saya   saya ambil keputusan untuk memanggil  Allahyarham Ustaz Azizi Hj. Abdullah “Tukya”. Allahyarham Ustaz Azizi Hj. Abdullah amat suka dengan cadangan saya itu  dan sejak itu saya sering memanggil Allahyarham  Ustaz Azizi Hj. Abdullah dengan panggilan Tukya.

Dalam pertemuan itu saya memberitahu hasrat hati saya nak berguru dengan dia. Saya memang berhasrat untuk menjadi penulis suatu hari nanti dan memberikan dia kedua-dua buah cerpen untuk dinilai dan dikomen. Allahyarham meminta masa selama 10 hari untuk tujuan itu, dan selepas 10 hari saya pergi kembali ke rumahnya dan saya lihat cerpen saya habis di conteng dengan pen merah hampir keseluruhannya.

Allahyarham Ustaz Azizi Hj. Abdullah telah memberi komen… menasihati saya dan mengembalikan naskah yang telah diconteng itu. Apabila saya balik dan melihatnya saya dapat pelbagai ilmu daripada apa yang diconteng itu. Malah kekurangan yang saya cari daripada cerpen pertama juga sudah terjawab. Lalu saya berjumpa dan tunjukan kepada mendiang  Drs. Darwis Harahap dan bertanya mengapa beliau mengatakan saya dah cukup bagus.
Lalu mendiang Drs. Darwis Harahap memberitahu saya sebagai penulis baru apa yang saya buat adalah cukup baik. Maka barulah saya faham maksud mendiang Drs. Darwis Harahap. Namun yang peliknya sampai hari ini saya gagal mengarap semula cerpen Nenek Utih walaupun banyak ilmu yang dapat saya timba daripadanya.

Sejak hari itu dari masa ke semasa saya bertemu dengan Allahyarhan Ustaz Azizi Hj. Abdullah untuk mengali ilmu penulisan kreatif daripada beliau. Dari masa ke semasa beliau telah memberikan tunjuk ajar sehinggalah cerpen saya tersiar dalam pelbagai akhbar dan majalah. Cerpen2 saya pernah tersiar di Mingguan Malaysia URTV, Bacaria, Media Hiburan, Majalah Famili dan banyak lagi akhbar dan majalah tempatan. Malah saya pernah memenangi Hadiah Saguhati Sayembara Penulisan Cerpen anjuran Majlis Kebudayaan Negeri Pulau Pinang dan Variapop Group , Kuala Lumpur yang menganjurkan pertandingan menulis cerpen.

Selepas itu saya telah diterima oleh Bacaria untuk menjadi Wakil Bacaria di Pulau Pinang dan ketika itu Pengarangnya Mazlan Mir atau nama sebenarnya Mazlan Manan. Mazlan Manan sekarang terkenal sebagai penulis skrip yang prolific di Negara ini. Kemudian saya menyertai Utusan Malaysia cawangan Pulau Pinang di mana ketika itu Ketua Biro Utaranya,  Rozaid Abdul Rahman yang kini menjadi Pengarang Bersekutu Mstar. Setelah itu saya menyertai Harian Watan  yang berpejabat di Buterworth,  tapi malangnya nyawa akhbar itu tidak lama.
Selepas itu saya mula menulis rencana politik untuk pelbagai akhbar politik seperti Era Baru, Eksklusif, Majalah Editor Suria Janib, Fajar Islam, Buletin Utama, Buletin Demokrasi , Siasah  dan banyak lagi. Malah saya pernah menjadi Pengurus Penerbitan/Editor Buletin UMNO Negeri Pulau Pinang yang dikenali sebagai Suara Mutiara. Ketika itu UMNO Pulau Pinang diketuai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr.Ibrahim Saad menjadi Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang.

Saya juga dilantik menjadi Pengurus Penerbitan/Editor Buletin Pemuda UMNO Pulau Pinang yang dikenali sebagai Minda Pemuda . Ketika itu Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang disandang oleh Nordin Md.Noor. Dan saya juga pernah dilantik menjadi Pengurus Penerbitan/Editor Buletin UMNO Bukit Mertajam ketika Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad mengetuai UMNO Bahagian Bukit Mertajam yang dikenali sebagai Buletin Bukit.

Walaupun saya benar-benar  berjaya  menempatkan diri sebagai seorang penulis khususnya politik, saya tak pernah lupakan Ustaz Azizi Hj. Abdullah, dari masa ke semasa saya tetap menemuinya. Beliau terus memberi peransang, galakan yang boleh mencabar kebolehan saya. Dan sautu hari tanpa saya sedari beliau mencabar saya lagi.

 “MAN AKU BERBANGGA DENGAN HANG… HANG TELAH BERJAYA  DIBIDANG PENULISAN TERUTAMA KREATIF DN POLITIK TAPI MALANGNYA SUDAH SEKIAN LAMA HANG MENULIS TIDAK ADA SATU PUN BUKU ATAU PUN NOVEL YANG HANG HASILKAN.” Kata  Allahyarham Ustaz Azizi Hj. Abdullah.


Lalu aku berjanji kepada beliau yang saya  akan menghasilkan novel . Alhamdulillah saya  telah berjaya menulis sebuah novel tapi malangnya setelah siap 90% manuskrip novel itu diserang virus sehingga kini saya  gagal membuka folder itu. Nasib saya baik kerana manuskrip itu telah saya ‘print’  masalahnya saya malas untuk menaip semula
.
Namun dengan pemergiannya saya  harus menyiapkan novel pertama ini dengan secepat mungkin jika tidak motivasi saya juga akan turut terkubur. Insya Allah kalau tidak ada apa-apa aral yang melintang novel pertama saya akan di cetak pada bulan Mac atau April ini. Insya Allah sekiranya usaha ini dapat direalisasikan saya tetap akan menghadiahkan senaskah novel ini  kepada isteri Ustaz Azizi sebagai tanda mata dan terima kasih saya kepada beliau.

Disamping memberikan tunjuk ajar dan motivasi beliau juga telah memberikan saya petua dan rahsia beliau berjaya menjadi penulis yang berjaya. Namun sehingga kini petua yang amat berharga itu tidak pernah saya amalkan dan dengan pemergiannya insya Allah saya akan mula mengamalkannya. Saya tahu dan yakin rahsia inilah yang membawa belaiu berjaya menjadi penulis yang amat dikenali di negara ini dan pernah  menerima Anugerah SEA .

Saya amat terasa satu kehilangan  yang cukup besar dengan pemergian beliau buat selama-lamanya ini. Jasa baktinya kepada saya untuk menjadi seorang penulis amat besar. Walaupun kini saya banyak menumpukan perhatian dalam penulisan skrip tetapi harus diingat bahawa Allahyarhan Ustaz Azizi Hj. Abdullah juga banyak menghasilkan  Skrip Drama Radio malah beberapa buah drama TV. JASA BAKTINYA KEPADA SAYA TIDAK AKAN SAYA LUPAKAN HINGGA KE AKHIR HAYAT SAYA.



Sedikit Biodata Allahyarham

AZIZI HJ. ABDULLAH (Hj. Azizi bin Hj. Abdullah) dilahirkan di Kampung Bukit Meryam, Kota Kuala Muda Kedah, pada 4 April 1942. Mula mendapat pendidikan di Sekolah Melayu Bukit Meryam dan Sekolah Melayu Kota Kuala Muda, Kedah sehingga darjah enam.

Kemudian belajar di Sekolah Agama Dairatul Maarif Al-Wataniah, Kepala Batas Seberang Perai (Sekolah yang diasaskan oleh Tuan Guru Hj. Ahmad Badawi, ayahanda kepada Datuk Abdullah Ahmad Badawi, bekas Perdana Menteri ke 5) hingga tahun 1965.

Azizi mula menulis ketika di sekolah agama, kira-kira dalam tahun 60-an apabila artikel pertamanya tersiar dalam Warta Negara, Pulau Pinang berkenaan buruk baik wanita bermain bola sepak dan kemudian diikuti cerpen ‘Sisa’. Manakala cerpen ‘Hj. Salikun Cuba Berkhalwat’ telah menjadi kontroversi sehingga Azizi hendak didakwa di mahkamah.

Azizi mula bertugas sebagai guru agama di Sekolah Kebangsaan Sungai Taka, Serdang, Kedah dalam tahun 1965 dan bermulalah kesuburan bakat beliau melalui penulisan cerpen di akhbar-akhbar, terutama akhbar terbitan Utusan Melayu.

Azizi telah bersara daripada guru agama pada tahun 1997 dan kini menjadi Ketua Editor akhbar Utusan Pengguna (CAP) Pulau Pinang dan penulis kolum majalah.

Dengan terhasilnya novel KAWIN-KAWIN, bererti sudah 25 novel yang ditulis oleh Azizi sejak tahun 60an lagi di samping hampir 200 cerpen.

Nota: Mari kita sama-sama sedekah al-fatihah moga-moga Allah merahmati rohnya dan diletak bersama-sama para solehin.