Sunday 2 October 2011

Blog MINDA NURZAMAN dilancar

Syukur Alhamdulillah setelah sekian lama minda saya bermain-main samada untuk terus   menulis blog atau tidak akhirnya saya mengambil keputusan untuk terus menulis. Sebelum ini saya gagal untuk 'update'  semua-blog-blog  yang telah lama saya bina. Rata-rata blog itu telah dilawati lebih 12,000 pelawat.

Oleh kerana terlalu banyak blog saya menulis dalam keadaan tergesa-gesa dan  ada banyak yang tak sempurna. Jesteru itu saya mengambil keputusan untuk membina satu blog baru yang akan merakam apa saja perkara  yang bermain-main di minda saya .


Blog baru ini saya namakan MINDA NURZAMAN. Minda menurut Kamus Dewan  mukasurat 828  membawa maksud akal fikiran, daya fikir ~ yang disuburkan dengan ilmu pengetahuan yang banyak akan menjadi alat yang tajam untuk mengatasi pelbagai masalah dang mengilhamkan pemikiran baru. Sementara NURZAMAN pula yang membawa maksud Sinar Zaman, dan Nurzaman juga singkatan nama isteri saya Nur dan singkatan nama saya Zaman.

NURZAMAN  juga  nama pena saya yang sering saya gunakan semasa diawal penglibatan  dalam dunia penulisan. Saya juga pernah menggunakan PENA WARISAN sebagai nama pena. Namun begitu akhir-akhir ini saya hanya menggunakan nama sebenar saya ARZAMAN SULAIMAN dalam setiap karya saya.

Walaupun saya sudah ada blog baru namun blog-blog lama akan saya biarkan terus dan apabila saya menulis untuk blog baru dan jika isu yang dibawa itu menepati mana-mana blog lama maka saya akan ‘copy dan paste’ di blog-blog lama. Ini bermaknanya blog-blog tersebut juga akan terus hidup.

Saya amat berharap agar  sentiasa dapat menulis dan ‘update’ blog ini selalu dan dapat berkongsi segala pengalaman yang pernah saya lalui, dapat berkongsi pendapat mengenai pandangan tentang isu-isu semasa . Saya  juga akan merakam segala kerja buat saya dibidang penulisan. Saya amat berharap penulisan saya dalam blog ini dapat memberikan manafaat kepada  kepada diri saya dan sesiapa saja yang membacanya.

Untuk pengetahuan para pembaca blog ini saya telah lama bergiat dalam dunia penulisan bermula pada tahun 1986. Saya bermula sebagai penulis cerpen setelah  mengikuti Kursus Penulisan Hujung Minggu anjuran Persatuan Penulis Negeri Pulau Pinang (2PNP) dengan kerjasama JabatanKebudayaan Belia dan Sukan Daerah Bukit Mertajam.

Kursus ini telah dikendalikan oleh Cikgu Ahmad Abdul Hamid (Allahyarham)  yang juga Ketua Satu 2PNP waktu itu dan Drs. Darwis Harahap (mendiang) seorang tutur bahasa di USM. Minggu pertama saya menghadiri kursus itu saya dapati saya mampu menulis lalu saya terus menulis dan menghantar ke penerbitan akhbar tabliot MINGGUAN POS KOTA. Cerpen pertama saya yang bertajuk MENCARI CINTA telah disiarkan dua minggu kemudiannya.

Komen pengelola ruangan sastera amat menakutkan saya. Menurut beliau,  saya mampu menulis dengan baik dan tajuknya juga menarik cuma segmen orang bercinta tak nampak seperti orang tidak bercinta. Saya mengakui kelemahan itu kerana saya tidak pernah bercinta waktu itu sampai hari ini. Akhirnya saya sudah tidak berani lagi menulis cerita-cerita yang berkiatan dengan cinta. Saya banyak menulis cerita-cerita yang berkiatan dengan perjuangan, kemanusian dan keagamaan.

Saya merasa begitu senang lalu menunjukkan keratan akhbar itu kepada Drs. Darwis Harahap, beliau begitu gembira dan mengatakan saya begitu baik. Namun saya dapati karya saya tidak begitu baik tetapi saya sendiri tidak tahu apa yang tidak baik, jadi saya tidak mampu mengajukan soalan kepada beliau. Akhirnya saya mengambil keputusan untuk menulis sebuah cerpen baru yang saya namakan “NENEK UTIH”  lalu saya pergi berjumpa dengan Ustaz Azizi Hj. Abdullah.


Ustaz Azizi yang saya panggil TUKYA telah mengkritik saya sehingga  gagal untuk menulis semula cerpen itu tetapi Alhamdulillah saya dapat banyak pengetahuan mengenai penulisan cerpen. Sejak itu saya terus menulis cerpen dan cerpen-cerpen saya telah tersiar dalam pelbagai akhbar dan majalah seperti Minnguan Malaysia, URTV, Bacaria, Media Hiburan, Mingguan Islam, Pentas Dunia, Majalah Famili, Mingguan Famili dan banyak lagi.

Saya pernah mendapat Hadiah Saguhati Sayembara menulis Cerpen  anjuran 2PNP dan Majlis Kebudayaan Negeri Pulau Pinang dengan cerpen berjudul “Broker”. Hadiah Saguhati Sayembara Menulis Cerpen anjuran Persatuan Penulis Negeri  Pulau Pinang. Juga Hadiah Saguhati Penulisan Cerpen anjuran Variapop Group. Saya juga pernah mendapat Hadiah Saguhati Sayembara Menulis Puisi anjuran 2PNP , YTL dan  Majlis Kebudayaan Negeri Pulau Pinang.

Setelah itu saya mula bergiat dalam penulis politik di akhbar Mingguan Kota. Isu pertama saya telah berpolimik dengan seorang sasterawan yang juga penulis politik iaitu Zakry Abadi (allahyarham). Sejak itu saya terus menulis politik di akhbar tersebut dan akhirnya saya berpolimik dengan penulis yang menyokong kuat Tunku Abdul Rahman (allahyarham),  ketika Tunku Abdul Rahman menyokong Semangat 46, pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah.

Polimik inilah yang membawa saya bertemu dengan Datuk Seri Dr. Ibhaim Saad yang ketika itu merupakan Exco Pertanian Negeri Pulau Pinang, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang yang juga Ketua UMNO Bukit Mertajam. Pertemuan dengan Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad ini telah diatur oleh Ketua Pemuda UMNO Bukit Mertajam waktu itu, Cikgu Ismail Sudin. Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad telah memberikan sokongan dan dokongan yang kuat dan berjanji akan berada dibelakang saya.

Setelah yakin dengan kebolehan saya beliau telah memberikan peluang kepada saya untuk membuat Risalah Pilihanraya UMNO Pulau Pinang, Buletin UMNO Negeri Pulau Pinang dan Buletin UMNO Bukit Mertajam. Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad bukan saya memberikan sokongan dan dorongan yang kuat malah membuka peluang penulisan malah mengeluarkan belanja pencetakan untuk projek yang pertama. Sejak itu hubungan saya dengan beliau begitu akrap.  Sejak beliau dilantik menjadi Duta Besar ke Filipina saya sudah tidak lagi menemui beliau.

Saya juga pernah menjadi Wakil Bacaria di Pulau Pinang, menjadi Pemberita Sambilan untuk akhbar Utusan Malaysia di Pulau Pinang sebelum melangkahkan kaki menyertai Harian Watan yang akhirnya ditutup. Saya juga pernah menjadi  Wartawan Sambilan dengan Akhbar Eksklusif. Saya juga pernah menjadi penyumbang untuk akhbar yang menyajikan berita dan rencana poitik seperti SIASAH, BULETIN DEMOKRASI, BULETIN UTAMA, ERA BARU, MINGGUAN FAJAR ISLAM  dan banyak lagi akhbar.


Berdasarkan hubungan baik dengan Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad dan pengalaman penulisan politik saya telah ditawarkan oleh Datuk Musa Hj. Sheikh Fadzir sebagai Pegawai Perhubungan Awam  di Aseania Development Sdn. Bhd., disamping melaksanakan tugas-tugas syarikat, saya juga membantu Datuk Musa dalam urusan politik. Saya meletak jawatan sebagai Pegawai Perhubungan Awam pada pertenggahan  tahun 1999 atas alasan peribadi namun begitu hubungan saya dengan Datuk Musa Hj. Sheikh Fadzir tetap dan terus mesra sampai hari ini.

Kini saya bertugas di syarikat Gudang Berlesen Awam dan Logistik di Lunas, Kulim Kedah disamping menumpukan perhatian dalam Penulisan Skrip Drama TV dan Dokumentari.

Saya yakin berdasarkan pengalaman yang luas dibidang penulisan dan politik blog ini dapat memberikan manafaat kepada  peminat blog, Insya Allah. Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih saya lancarkan blog  ini. SELAMAT MEMBACA dan  artikel lain akan menyusul dari masa ke semasa. 

3 comments:

  1. TAHNIAH, SAHABATKU ARZAMAN.
    TERUSKAN KEMBALI AKTIF MENULIS DI BLOG SEPERTI KITA MULA MULA DULU...
    DULU... KITA SUSAH DAN SENANG BERBLOG...
    INSYAALLAH... KITA TERUSKAN BERSAMA....

    ReplyDelete
  2. Tahniah Abg Man....Go Abg Man Go....

    ReplyDelete
  3. Terima Kasih Sahabatku Omara kita memang kena teruskan kerana dulu ketika kita ghairah dan tak tahu apa-apa kita telah ditipu dan kini semuanya ada di depan mata maka tak harus kita biarkan begitu saja.

    ReplyDelete